Skip to main content

Duit kertas koyak, lusuh dan syiling RM1

Pernah tak terjadi pada kalian? Duit kertas termasuk mesin basuh, duit kertas yang disimpan lama dalam almari dimakan anai-anai, berlubang-lubang, lusuh, terkoyak dan sebagainya. Rasanya dah tak boleh nak guna lagi duit kertas itu kan? Jangan terus dibuang duit-duit kertas rosak tu, masih boleh dibaiki lagi. Begitu juga kalau kalian ada syiling RM1 yang lama, berwarna emas itu. Ia juga masih boleh ditukar untuk digunakan.


Duit kertas lusuh dan syiling RM1 masih ada nilai.

"Nak guna macamner? Dah rosak, koyak". "Syiling RM1 tu dah lame tak nampak la, orang dah lame tak guna."

Duit kertas yang rosak tu dan syiling RM1 kita boleh tukarkan kepada duit yang baru yang boleh kita gunakan. Caranya ialah dengan menukarkan duit-duit kertas yang rosak itu di Bank Negara Malaysia. Syiling RM1 itu pun boleh ditukarkan kepada duit kertas RM1 yang digunakan sekarang.

Abah dulu berniaga kedai runcit.

Abah saya dulu adalah peniaga kedai runcit kecil-kecilan di Kampung Lereh. Kadang-kadang abah dapat duit-duit kertas yang rosak, lusuh dan terkoyak. Disebabkan oleh ramainya orang yang datang membeli, kekadang abah terlepas pandang duit yang orang bagi tu dah lusuh dan terkoyak. Jadi abah simpan duit-duit kertas yang lusuh itu. Lama abah simpan, ada yang abah dah tukarkan, tapi ada lagi yang abah tak sempat tukarkan di bank. Bila dikumpulkan semula, ada sejumlah duit kertas lusuh dan 11 keping syiling RM1.

Saya ke Bank Negara Malaysia.

Semalam (10 Dec 2010, Jumaat) saya ke Bank Negara, ditemani oleh isteri yang sedang hamil dan adik ipar saya. Di Bank Negara, untuk urusan tukar duit-duit kertas rosak ini, kita boleh lakukan di Blok D. Ada sebuah kaunter penukaran wang disediakan. Saya ingatkan boleh tukar begitu sahaja duit-duit kertas yang rosak itu, macam kita tukar duit RM10 sekeping dengan 10 helai RM1 di kedai-kedai. Rupanya kita perlu isi borang memohon untuk menukarkan syiling RM1 dan juga borang memohon penukaran duit kertas yang rosak. Duit-duit kertas yang terkoyak teruk, perlu digamkan atas kertas putih. Jangan risau, kertas putih dan gam ada disediakan di kaunter, boleh buat sendiri.


Boleh tampal dikaunter layan diri.

Dan akhirnya, setelah borang yang siap diisi diserahkan bersama duit-duit kertas yang rosak dan juga syiling RM1, Pegawai Bank Negara menilai ketulenan duit-duit kertas dan syiling RM1 tersebut. Syling RM1 yang saya bawa, ada sekeping yang palsu, duit-duit kertas semuanya tulen.

Jumlah duit yang dapat saya tukarkan ialah RM71 bagi duit-duit kertas, dan RM10 untuk syiling RM1.

Kini baru saya tahu, hanya duit-duit kertas rosak dan syiling RM1 yang boleh ditukarkan di Bank Negara. Untuk syiling-syiling 5sen yang banyak tu, kena tukar di bank-bank komersial.

Akhir kata, mari renungkan "duit bukanlah segala-galanya, tapi segala-galanya perlukan duit." Eh! macam tak kena pula. Mungkin yang lebih sesuai ialah "duit bukanlah segala-galanya, tapi Allah Maha Kaya memiliki segala-galanya, selalulah meminta dariNya."

Amirul Faiz Abd. Razak
43650 Bandar Baru Bangi

Jalan-jalan

No comments

Leave your comment

In reply to Some User