Skip to main content

Novel Doa Insan Berkasih

Salam Hijrah buat semua rakan-rakan siber sekalian. Bagaimana dengan 2 hari yang telah berlalu dalam tahun 1432 Hijrah yang baru ni? Masih bersemangatkah untuk melaksanakan azam yang telah dilafazkan? Harapnya, kita kekalkan momentum semangat ini paling tidak pun hingga hujung Muharram ini. Kali ini, saya nak cerita sikit tentang novel yang telah saya baca. Hasil nukilan Aminah Mokhtar. Novel bertajuk Doa Insan Berkasih.

Novel ini adalah pilihan isteri saya pada mulanya. Alhamdulillah, isteri saya semakin sihat, dengan kandungan yang membesar, sedikit demi sedikit, hari demi hari. Sudah 5 bulan isteri saya hamil. Sekarang ini, isteri saya tidak lagi muntah-muntah, cuma masih ada rasa loya sikit selepas makan. Mudah-mudahan dipermudahkan urusan kami, bakal ibu ayah. :)

Ok, berbalik kepada novel Doa Insan Berkasih ini. Saya beli dan mula membacanya sejak dari Hari Raya Haji yang ke-3 hinggalah semalam, baru saya tamat membacanya. Novel tersebut mengisahkan perjalanan suka duka pasangan berkasih, yang berjauhan, Siti Musalmah dan Hamzah.

Siti Musalmah merupakan anak yatim piatu, baik budi pekerti, sopan santun, baik juga agamanya. Hamzah pula ingin beristerikan Siti Musalmah, namun tidak dipersetujui oleh Mak Intan (mak kepada Hamzah) kerana tidak sedarjat katanya. Oleh kerana berjauhan, Siti Musalmah dan Hamzah saling mendoakan kekasih masing-masing supaya sentiasa dirahmati Allah.

Menarik sungguh apabila saya menelusuri perjalanan hidup susah Siti Musalmah, menjadi yatim piatu, dipaksa bekerja sebagai orang gaji, bermodalkan duit simpanan, dia cuba mengubah nasib orang-orang Kampung Nelayan. Sehinggalah dia berjaya menubuhkan syarikat Kampung Nelayan Sdn. Bhd. Memberi inspirasi dan semangat yang kuat kepada saya.

Dari kacamata saya yang negatif.

Novel ini terdapat beberapa kelemahan dari pandangan saya. Yang paling ketara, kesalahan ejaan yang kerap berlaku dalam novel ini. Hingga membuat saya terfikir, "tiada orangkah yang membaca manuskrip novel ini sebelum diterbitkan?"

Kelemahan yang kedua. Mungkin kerana saya menjangkakan, perjalanan cerita akan lebih ringkas dan terpandu. Saya kadang-kadang tidak dapat menangkap situasi perjalanan masa dalam novel ini. Sekejap, Siti Musalmah sedang melakukan kerja. Sekejap imbasan kembali kenangan Siti Musalmah yang lalu. Sekejap bayangan dalam fikiran Siti Musalmah. Saya jadi lemas, tidak dapat menggambarkan masa yang sebenar yang sedang dilalui oleh Siti Musalmah.

Namun, saya kira, novel ini sesuai dibaca oleh anda semua. Lebih-lebih lagi yang berjauhan dari yang tersayang (suami, isteri, ibu, ayah dan buah hati).

Selamat membaca.

Amirul Faiz Abd. Razak

43650 Bandar Baru Bangi.

No comments

Leave your comment

In reply to Some User