Skip to main content

Novel Keimanan Cinta.

Novel Tarbiah terbitan Galeri Ilmu ini dinukil oleh Munie Asra. Terpikat untuk membelinya kerana terpandangkan iklan drama Keimanan Cinta dalam Majalah Anis. Akan tetapi, tiada peluang menonton siri drama Keimanan Cinta kerana kami tidak melanggan siaran AStro. Namun begitu, puas juga dapat membaca dan menghayati karya ini.

Novel Keimanan Cinta

Ringkasan
Tan Sri Koh telah mengaturkan perkahwinan Fazura dengan cucunya Alan kerana Tan Sri Koh memmikirkan Fazura mempunyai perwatakan yang boleh menceriakan hidup Alan yang suram. Walaupun kehidupan Alan mewah dengan harta benda. Perjalanan kisah perkahwinan Fazura dan Alan yang baru mahu bercinta selepas berkahwin, sangat indah sekali. Namun begitu, bahtera perkahwinan Fazura dan Alan diduga dengan pelbagai ujian, dari Andy, pemuda yang menagih cinta dari Fazura, ujian dari segi kesihatan Fazura juga. Di sekeliling Fazura, berdiri mereka yang sangat prihatin dan sentiasa memberi sokongan kepada Fazura, Chelsia, rakan karib Fazura, Nasha kakak kepada Fazura, dan Dr. Daphne, doktor yang ditugaskan menyelia perkembangan kesihatan Fazura. Dapatkah perkahwinan Fazura dan Alan bersemi dengan keimanan cinta? Mungkin dapat. :)

Apa yang saya suka dengan novel ini?
Saya suka dengan susunan dan pilihan kata yang mudah dalam novel ini. Mudah untuk saya hadamkan. Saya mengambil masa kira-kira 2 minggu untuk menghabiskan novel setebal 268 halaman ini. Dari segi jalan ceritanya, saya berasa selesa dengan plot-plot cerita antara watak utama dan juga watak-watak sampingan yang lain, tidak membebankan saya untuk mengingati semula jalan cerita yang terakhir saya baca selepas beberapa hari tidak membacanya. Dari sudut tarbiah, Subhanallah, banyak sungguh mutiara-mutiara tarbiah yang boleh kita kutip dari novel ini. Ada tiga watak yang memeluk agama Islam di dalam novel ini. Ada watak Muslim yang bertaubat, setelah jauh tersesat dengan keseronokan dunia. Novel ini mengingatkan saya sebagai pembaca, supaya sentiasa bersangka baik dengan semua orang sedang berusaha kearah kebaikan. Ingatkah kita kepada kisah pelacur yang memberi minum kepada anjing? Bukankah usaha kebaikan pelacur itu, membuka pintu hidayah, lalu akhirnya dia menjadi Hamba Allah yang baik? Begitu jugalah dengan novel ini, tarbiah supaya kita bersangka baik dengan orang lain diserapkan dalam cerita yang menarik.

Apa yang bagus tentang novel ini?
Pada pendapat saya, cerita bagaimana Fazura dan Alan masing-masing cuba memikat hati masing-masing kerana berkahwin tanpa cinta, sungguh cantik sekali. Bercinta selepas kahwin, mungkin jarang didengar, tapi saya kira sangat indah apabila telah ada ikatan halal, semua langkah memikat hati pasangan boleh dilaksanakan, pujuk dan rajuk, tanpa batasan aurat, batasan sentuhan, batasan nafsu, bahkan beroleh pahala.

Novel ini sesuai untuk semua golongan, terutamanya bagi mereka yang mahu tahu betapa indahnya percintaan selepas perkahwinan. Indhnya ia kerana didasari dengan keimanan cinta kepadaNya. Sesungghunya, Allah jua pemilik cinta yang Maha Penyayang.

Buku

No comments

Leave your comment

In reply to Some User