Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah terbakar
Bencana kebakaran itu berlaku pada waktu subuh Khamis (14 Sept 2017). Hari Jumaat, saya nampak ramai orang berkumpul di hadapan Institut Pusat Forensik Negara, Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Mereka terdiri daripada wartawan, jurukamera, polis, polis trafik, anggota RELA dan sebagainya. Pejabat saya memang bersebelahan sahaja dengan HKL. Jadi Jumaat itu, pukul 1.oo petang, saya dalam perjalanan menuju ke Masjid HKL untuk solat Jumaat. Laluan pejalan kaki dari pejabat saya akan lalu di hadapan pusat forensik itu.
Melihatkan orang yang ramai di situ, terkenang saya kepada mangsa-mangsa kes kebakaran Pusat Tahfiz Ittifaqiyah. Hati jadi sayu. Di sepanjang jalan dekat pusat forensik itu, kelihatan van-van jenazah sudah beratur, menanti jenazah untuk disempurnakan. Dada rasa sebak.
Apabila dah jadi seroang abah ni, hati mudah rasa sayu apabila mendengar kisah-kisah sedih melibatkan mangsa yang masih kanak-kanak lagi.
Pelbagai reaksi yang kita dapat baca di laman media sosial. Di awalnya ramai yang menyangka kebakaran ini berlaku akibat dari lintar pintas. Lalu, ramai yang memandang serong kepada sekolah tahfiz, seolah-olah mereka tidak mementingkan soal aspek keselamatan pelajar. Lihat saja rekod kes-kes kebakaran yang melibatkan sekolah tahfiz. Itu yang menjadikan orang ramai mudah mahu menyalahkan pihak sekolah tahfiz.
Bagi saya sendiri, walaupun rasa mahu menyalahkan pihak sekolah, rasa geram, rasa nak marah, tapi saya tahan diri dari tulis emosi geram itu di media sosial. Banyak juga yang beremosi marahkan pihak sekolah dengan menulis di media sosial.
Mungkin kerana dah jadi abah ni, tahap sabar itu ada naik sedikit. Jadi saya cuma baca sahaja komen-komen orang di media sosial. Yang tulis dengan marah-marah tu, seeloknya kawal sedikit, bukan apa, apabila tengah marah, selalunya kita akan terbuat perkara yang kurang rasional. Mencarut, memaki-hamun contohnya.
Berpada-padalah kita dalam menzahirkan rasa, meluahkan emosi berhubung dengan kes kebakaran ini.
Kita ambil iktibar daripada kes ini. Apabila rasa malas nak buat fire drill, latihan kebakaran, latihan kecemasan, kenangkanlah kes ini.