Motorsikal, tayar tanpa tiub (tubeless)
Mulanya saya agak berkira untuk menukar kepada tayar tubeless. Akan tetapi, disebabkan motorsikal saya telah pancit lebih 3 kali dalam bulan Januari sahaja, maka saya nekad untuk bertukar kepada tayar tubeless. Ada sebuah kedai barangan motorsikal di Seksyen 8, Bandar Baru Bangi yang dicadangkan oleh seorang rakan saya. Harga berpatutan kata dia.
Petang itu, selepas habis kerja, saya terus singgah bengkel motor tersebut. Alhamdulillah, kedai ini tutup agak lewat, saya sampai di kedai itu sekitar pukul 6 petang. Masih banyak motor-motor yang sedang dikerjakan mereka.
Saya memilih set sportrim yang paling murah, RM120 sepasang (depan dan belakang). Orang kata, tayar tubeless mesti guna sportrim, tak boleh guna rim biasa. Tayar tubeless FKR yang agak baik, RM65. Tayar depan, saya minta guna tayar lama, dengan tube, kerana tayar lama saya masih elok. Kepala tiub tayar tubeless, RM10. Bearing rim dah longgar, RM12.
Jumlah amaun yang saya bayar, RM220. Memang rasa agak berat, tapi mengenangkan susah payahnya apabila tayar pancit terkena paku di tepi lebuhraya, saya fikir, insyaAllah, ia berbaloi.
Tak lama, selang seminggu, saya telah diuji dengan paku yang ditabur di tepi jalan. Mujurlah terkena pada tayar tubeless belakang. Angin tayar tidak terus keluar. Masih boleh jalan lagi ke kedai yang terdekat. Saya pergi ke kedai yang sama, pomen itu keluarkan paku, masukkan getah penutup lubang di tempat yang bocor, dah siap. RM4 bayaran untuk kerja dan getah itu.
Rasa lega sekali. Mengenangkan susah payahnya apabila motor saya pancit di tengah jalan, sepanjang hampir 4 tahun yang lalu, saya senyum, haii.. bagaimanalah aku boleh bertahan dengan cabaran motor pancit di tengah jalan sepanjang tempoh itu. Mahal ya kalau kita panggil orang datang tukarkan tiub di tengah jalan. Paling murah RM25, paling mahal RM60 (orang penipu).
Apapun, saya rasa tenang sekarang. :)