Bawa bekal makanan
Saya telah membaca beberapa artikel dan kemaskini status (status update) dari FB Saiful Nang berkenaan dengan budaya membawa bekal makanan ke tempat kerja atau sekolah. Artikel yang sungguh memberi kesan kepada saya. Lantas saya meminta isteri untuk menyediakan bekal makanan buat saya, dan isteri saya pula sedia untuk masak di awal pagi. Alhamdulillah.
Nasi, isteri saya masak diawal pagi. Lauk, kadang-kadang ikan goreng, tapi selalunya ayam goreng, kerana mudah dan cepat disediakan. Ayam diperap dengan rempah, dan disimpan dalam peti sejuk dibahagian bawah, supaya ayam tidak beku, dan boleh terus digoreng apabila dikeluarkan. Sayur, ulam-ulaman saja, seperti kacang panjang, timun dan sebagainya. Sedikit sambal sebagai perisa.
Apabila telah ada bekal makanan, saya tak perlu nak fikirkan sangat tengahari nanti nak makan di mana, nak makan apa, duit cukup ke tidak, dan tak perlu beratur untuk membayar.
Seronok sebenarnya bawa bekal yang dimasak oleh isteri ni. Bayangkan, isteri pastinya mendoakan suaminya kenyang di tempat kerja dengan bekal yang dimasaknya. Suami pula pastinya akan terkenangkan isterinya sewaktu menjamah bekal yang dibawa. Moga bertambah kukuh ikatan kasih sayang melalui rezeki makanan yang mengenyangkan.
Sudah hampir 2 bulan saya dan isteri cuba untuk kekal konsisten membawa bekal ke pejabat. Cuma pada waktu ini, bekalan air dicatu di Selangor, jadi isteri kurang semangat nak masak pada waktu pagi. Sukar, terpaksa cedok air dari kolah dan tong simpanan air, ditambah pula isteri masih pening-pening dan loya kerana hamil. InsyaAllah, lepas ini kami akan teruskan semula usaha berjimat cermat dan berkasih sayang ini.
Budaya bawa bekal ke pejabat atau sekolah ini amat popular di kalangan masyarakat Jepun. Ini berdasarkan dari artikel-artikel yang saya baca di internet, melalui pengalaman mereka yang telah melawat negara matahari terbit itu. Apa yang menariknya ialah, sebuah masyarakat di negara yang maju, masih ada lagi budaya membawa bekal ke tempat kerja / sekolah. Mengapa saya kata menarik? Kerana, persepsi kita (termasuk saya sendiri), bawa bekal bermakna orang itu orang susah. Saya kira Jepun bukanlah negera yang susah (bahkan sebuah negara yang maju), tapi masih ada rakyatnya yang bawa bekal ke tempat kerja.
Sungguhpun persepsi itu ada kebenarannya, namun harus kita perbetulkan persepsi kita. Orang yang bawa bekal, mereka melatih diri untuk memilih. Melatih hati untuk kuat semangat, melentur nafsu untuk tunduk kepada kata hati, kata akal, lebih rasional.
Jom bawa bekal ke tempat kerja, ke sekolah, atau keluar bersiar-siar. :)
(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri dan tidak boleh membuat maksiat dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah) dan bertakwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya). (Al-Baqarah 2 : 197)
http://prihatin.net.my/v3/2014/01/07/harga-makanan-kantin-naik-mendadak-perlu-bawa-bekal/
http://samuraimalaya.com/budaya-jepun-yang-wajar-ditiru-oleh-orang-malaysia.html