Naik MRT jalan-jalan ke Muzium Negara
Hujung minggu rasa macam perlu diisi dengan aktiviti yang seronok untuk anak-anak. Puas berfikir, saya teringat nak bawa anak-anak jalan-jalan naik MRT.
Saya pun surveylah bayaran tiket MRT, rupanya promosi diskaun 50% tiket MRT akan berakhir pada 31 Ogos 2017. Saya juga cari maklumat berkaitan stesen MRT yang ada menyediakan tempat letak kereta, dan juga stesen mana yang ada tempat menarik untuk dilawati.
Selain dari niat nak bawa anak-anak jalan-jalan waktu cuti hujung minggu, saya juga ada tujuan lain, iaitu nak alami sendiri laluan MRT dari stesen Kajang masuk ke Kuala Lumpur.
Kami letak kereta di stesen Kajang. Harga parking kereta RM3.20 untuk tempoh lebih kurang 2 jam lebih letak kereta.
Memang diakui, tren MRT laju dan juga kerap. Selang 5 – 7 minit, akan ada tren yang sampai. Ruang dalam tren yang selesa. Rasa macam boleh juga kalau nak cuba naik MRT ke pejabat. Mungkin apabila saya berpindah duduk di Lenggeng nanti.
Kami bawa anak-anak ke Muzium Negara. Tambang dengan diskaun 50% ialah RM1.90 sehala untuk orang dewasa. Kanak-kanak percuma.
Lebih kurang 30 minit, dah sampai di Muzium Negara.
Kami tak masuk jalan-jalan dalam Muzium Negara, sebab petang itu, kami ada jemputan kenduri di rumah kawan di Taman Universiti, dekat dengan German Malaysian Institute.
Saya boleh katakan, kemudahan MRT memang sangat selesa dan mengkagumkan. Saya sebagai rakyat Malaysia, rasa bangga dengan kemajuan yang dicapai negara. Harapnya kita semua sebagai rakyat, sama-sama menjaga kemudahan yang canggih ini.
Peta transit rel ini boleh didownload di sini.