Perangai bergantung pada diri sendiri
Mula-mula saya dengar tajuk buku "perangai bergantung pada diri sendiri" ialah daripada sebuah video ceramah Dr. Mohd Asri Zainal Abidin (Dr. Maza). "Daripada hal-hal keduniaan hinggalah agama, orang Melayu terlalu bergantung pada orang lain. Hinggakan apabila sudah mati pun, masih mengharap kiriman tahlil dan bacaan Qulhu wallahu ahad orang", Dr. MAZA memetik ayat-ayat yang menarik dari buku itu.
Saya jadi begitu tertarik hendak tahu lebih lanjut berkenan isi kandungan buku karangan Za'ba ini yang dikatakan mengkritik sikap orang Melayu yang suka sangat bergantung kepada orang lain. Kritikan Za'ba terhadap sikap orang Melayu yang tidak percaya kepada kebolehan diri sendiri. Sebuah kritikan, yang telah lama difikirkan oleh Za'ba sejak dari sekitar zaman kemerdekaan Tanah Melayu.
Kebetulan pada 3 Ogos yang lalu, bersempena dengan hari terbuka H-Care, turut diadakan gerai-gerai jualan pelbagai barangan. Sebuah lori kecil lagi comel, bagaikan sebuah kedai buku mini bergerak dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), menarik minat saya untuk melihat-lihat buku-buku yang mereka bawa untuk dijual pada hari itu.
Buku Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri ini menarik perhatian saya, begitu juga buku-buku seperti "Mitos Pribumi Malas". Terasa bagai mahu beli semuanya sekali, namun, setelah difikir-fikir, saya ambil 3 buah buku karangan Za'ba kerana setiap buku tidak terlalu tebal, dan harga untuk buku-buku ini juga sekitar RM13 setiap satu.
Setelah membaca bab pengenalan oleh Asmah Haji Omar, saya menjadi makin suka dengan nasihat-nasihat Za'ba dalam buku ini. Bukan sahaja beliau menasihatkan orang Melayu bergantung pada diri sendiri dalam hal-hal keduniaan, begitu juga dalam hal-hal akhirat. Pendek kata, berdikari mencapai kecemerlangan dunia, juga berdikari mencapai kecemerlangan akhirat, kurangkan atau minimumkan kebergantungan pada orang lain. Bergantung hanya pada Allah.
Pada awalnya saya fikir, tajuk buku Perangan Bergantung Pada Diri Sendiri ini bermaksud, perangai kita yang buruk, adalah bergantung kepada faktor diri kita sendiri. Rupa-rupanya, Za'ba pada zaman itu menggunakan istilah "perangai" yang merujuk kepada istilah "sikap". Jadi, bolehlah kita ertikan, tajuk buku ini jika menggunakan istilah yang sekarang ialah, sikap berdikari.
Buku yang sangat sesuai dibaca oleh orang Islam yang mahu memajukan dirinya baik hal-hal dunia, mahupun hal-hal akhirat. Lebih-lebih lagi, dalam bulan kemerdekaan Ogos ini, buku ini amat saya galakkan untuk dibaca. Moga kita semua akan berasa bersemangat untuk memajukan diri kita sendiri. Jika semua orang memajukan diri mereka sendiri, insyaAllah, masyarakat akan maju, bangsa akan maju, dan akhirnya negara akan maju.
Jika tuan puan nak dapatkan buku ini, bolehlah beli di galeri buku DBP.