Cara menggunakan dobi layan diri
Apabila dilanda musibah gangguan bekalan air sekitar kawasan Bandar Baru Bangi, Kajang dan Semenyih, saya mula gelisah melihatkan timbunan pakaian kotor yang belum dibasuh. Ditambah pula dengan keadaan mesin basuh yang sedang rosak, itulah yang menyumbang kepada bertambah-tambahnya pakaian kotor yang menanti untuk dibasuh. Dobi-dobi sekitar kawasan pastinya mengalami gangguan bekalan air yang sama. Saya fikir, baik saya cuba cari dobi layan diri luar kawasan Bangi. Saya dapat idea untuk pergi ke Bukit Mahkota, di hujung kawasan Bukit Mahkota, yang dekat dengan sempadan Nilai.
Mujur jumpa satu dobi layan diri kat situ. Sebelum keluar rumah, saya dah survey dalam Google Map, kat mana ada dobi yang tak jauh dari Bangi, tapi luar dari kawasan gangguan bekalan air. Saya juga buat cari di Google cara menggunakan dobi layan diri. Maklumlah, kali pertama nak guna dobi layan diri, takut nanti terosakkan pula mesin basuh kat dobi tu nanti. Haha.. Bagus juga tuan punya blog ini yang menerangkan dengan baik sekali cara-cara nak guna dobi layan diri, siap dengan gambar-gambar panduan yang jelas dan sangat membantu.
Barulah saya tahu, yang dobi layan diri, kebanyakkannya ada mesin basuh (washer), dan juga pengering (dryer). Begitulah, apabila kita bersedia dengan maklumat yang diperlukan
Ingatkan susah sangat nak guna dobi layan diri ni, rupanya senang saja.
Mula-mula kita tukarkan wang kertas kepada duit syiling. Dobi yang saya pergi ni, mesinnya tak keluarkan duit syiling, tapi token. 1 token bersamaan dengan RM1.
Dah tukar token, pilih mesin basuh yang kosong. Nasib baik waktu saya pergi tu, cuma ada seorang je pelanggan yang sedang mendobi pakaian. Jadi ada banyak mesin basuh yang boleh dipilih. Ada mesin basuh untuk muatan 14kg, ada juga mesin basuh untuk muatan 18kg.
Sabun cuci dan pewangi, kedai dobi ini ada sediakan siap, automatik dalam mesin basuh.
Masukkan pakaian, masukkan token dengan jumlah yang diperlukan. Kalau perhatikan jadual kadar bayaran, bagi mesin basuh kapasiti 14kg, untuk cucian guna air bersuhu suam, kadar bayarannya ialah 5 token, bersamaan RM5. Tempoh masa cucian ialah selama 29 minit. Jadi, agak-agak berat keseluruhan pakaian kita, lepas tu pilihlah kapasiti mesin basuh yang bersesuaian. Kalau banyak sangat pakaian, macam dah lebih seminggu kumpul, pilihlah mesin basuh kapasiti 18kg, dan kadar bayarannya lebih sikit berbanding mesin basuh kapasiti 14kg.
Mesin basuh (washer) akan berjalan lebih kurang 25 minit. Bolehlah nak tunggu sambil main gajet ke, baca majalah yang disediakan ke, atau nak tinggalkan pun boleh, tapi jangan tinggalkan lama sangat, takut nanti apabila ada orang nak guna, pakaian kita yang dah siap basuh masih kat dalam mesin basuh lagi.
Selepas selesai basuh, keluarkan pakaian-pakaian kita, beralih pula kepada mesin pengering (dryer).
Saya pilih untuk keringkan baju selama 29 minit, kerana, sebenarnya saya tak bawa duit kecil, saya bawa duit kertas RM10, jadi saya fikir, elok saya habiskan saja token-token yang saya dah tukar. 10 token semuanya. 5 token saya guna kat mesin basuh, 5 token saya guna kat mesin pengering.
Pertama kali saya rasa panasnya baju-baju yang keluar dari mesin pengering ini, macam nak melecur jari dibuatnya. Oleh kerana ini pengalaman pertama saya, jadi saya tak tahu yang mesin pengering ini akan membuatkan pakaian kita jadi renyuk-renyuk, susah nak sterika nanti.
Apa pun, alhamdulillah, selesai satu tugas penting, di waktu yang sukar tiada bekalan air selama lebih 48 jam. :D