Skip to main content

Majlis Korban UKM Kampus KL

Saya menawarkan diri untuk bertugas melapah lembu korban di Majlis Korban Kampus KL, UKM. Kali ini sebanyak 4 ekor lembu dan 1 ekor kambing dikorbankan / diakikahkan. Kali ini saya berkesempatan untuk turut serta sebagai petugas memandangkan saya beraya di Melaka, jadi tak ambil cuti panjang sangat. Hari Rabu datang pejabat, bertugas di Majlis Korban. Hari Khamis cuti, sambung ke hari Malaysia, balik kampung sebelah mertua.

Masa berlalu begitu pantas, rasa macam baru tahun lepas saya ambil bahagian dalam Majlis Korban, dengan harga seekor lembu saiz sederhana sekitar RM2800. Kini, harga seekor lembu saiz sederhana sekitar RM4200, dan satu bahagian ialah RM600. Tahun depan, mungkin akan naik lagi harga satu bahagian sebanyak RM50, saya congak secara kasar.

Kali ini, ada banyak ilmu yang dapat saya kutip dari orang lama yang berpengalaman dalam mengendalikan kerja-kerja melapah lembu setelah disembelih.

Seperti biasa, selepas lembu disembelih, dan ia telah benar-benar mati, kita pun akan mula dengan membuka kulit lembu. Saya berasa amat lega, kerana pisau yang saya asah pagi tadi, tajam, mudah kerja. Alhamdulillah.

WP_20160914_033

Setelah selesai kita buka kulit lembut, selalunya, orang akan terus mahu potong bahagian kaki dan gantung untuk dilapah dagingnya. En. Shahdan, seorang pesara UKM yang punya banyak pengalaman, mengajar kami supaya buka bahagian perut dan dada lembu dahulu, selesaikan perut dan organ-organ dalaman lembu dahulu, kemudian, barulah kita potong kaki lembu untuk digantung.

Betul juga, dengan membuka perut dan dada, serta kaki yang masih belum dipotong, kerja-kerja untuk membelah bahagian perut dan dada lembu menjadi mudah. Ini, memang suatu ilmu baru bagi saya. Sebelum ini, saya selalu nampak, orang akan terus nak potong kaki lembu untuk digantung terus, yang mana, ini akan menyusahkan kerja-kerja untuk mengeluarkan organ dalaman lembu nanti.

Satu lagi ilmu yang saya dapat, berkenaan pisau yang berkualiti. Saya terkejut melihatkan jenama pisau yang En. Shahdan ini gunakan, jenama Victorinox, jenama berkualiti dalam perkakasan logam. Kata En. Shahdan, pisau dia berharga sekitar RM150 ke atas. Untuk pisau yang berkualiti seperti ini, gunakanlah batu asah yang berkualiti juga. Batu asah bekualiti, berharga sekitar RM150 ke atas juga.

Baiklah, untuk majlis korban yang akan datang saya akan kumpul duit dari sekarang. Sama ada saya nak masuk bahagian dalam korban, atau saya nak beli pisau yang berkualiti seperti En. Shahdan gunakan itu.

Korban Kampus KL 2016

Raya Haji

No comments

Leave your comment

In reply to Some User