Apakah itu yang dinamakan kejayaan?
Kebiasaannya kita akan kata seseorang itu berjaya apabila dia ada harta, atau berjawatan tinggi, atau popular. Namun, rasanya, ramai lagi orang yang boleh dikatakan sebagai berjaya, namun di mata pandangan kita semua, mereka ini nampak biasa-biasa sahaja.
Orang yang menyamakan kejayaan dengan jawatan, ijazah, wang dan nama adalah orang yang tidak faham erti kejayaan yang sebenar. Semua orang boleh berjaya, walaupun bukan semua orang dapat masuk universiti, ataupun dapat menajadi kaya-raya dan ternama. Terdapat ramai individu yang sengaja memilih tidak mahu kaya raya ataupun ternama. Ramai tokoh-tokoh kemanusiaan yang amat berjaya terdiri daripada mereka yang memilih kehidupan yang sederhana. Budha, Mahatma Ghandi, Konfusius adalah contohnya. Nabi Muhammad S.A.W dan sahabat baginda adalah orang-orang yang berjaya meskipun mereka tidak kaya raya. Ini tidak pula bermakna Nabi Muhammad S.A.W tidak menggalakkan pengikutnya supaya mencari harta kekayaan. Islam adalah agama yang mengajar penganutnya supaya berusaha mendapatkan kejayaan, baik di dunia mahupun di akhirat.
Kejayaan tidak seerti dengan nama, harta, pingat emas ataupun kertas siji. Kalau itulah yang dijadikan ukuran kejayaan, maka ukuran itu bersifat luaran, yang bermakna seseorang itu membandingkan kejayaannya dengan kejayaan individu-individu lain di sekelilingnya. Apabila dia lebih baik daripada orang-orang lain yang dijadikan perbandingan olehnya, maka dia menganggap dia sudah berjaya, tetapi apabila orang-orang lain lebih baik, maka dia menganggap orang-orang itu berjaya manakala dia sendiri tidak berjaya. Cara berfikir yang begini menyebabkan seseorang itu mempunyai sikap suka bersaing dengan orang-orang lain dan suka menang dengan cara mengalahkan orang lain. Dia asyik mengukur siapa lebih besar pangkatnya, siapa lebih banyak wangnya, siapa lebih tinggi ijazahnya. Dengan cara berfikir yang begini, hanya apabila seseorang itu sudah berjaya mengalahkan orang lain barulah dia berasa dia menang dan barulah dia yakin dia sudah berjaya.
Sebenarnya seseorang itu berjaya apabila dia dapat melakukan sesuatu dengan sebaik-baik keupayaannya, di dalam aspek-aspek yang dia anggap paling penting dalam kehidupannya. Seseorang itu melakukan yang terbaik berdasarkan bakat dan kemampuannya untuk agamanya, pekerjaannya, keluarganya dan masyarakatnya.
Inilah ajaran Islam. Seandainya kekayaan menjadi ukuran kejayaan, maka Nabi Muhammad S.A.W adalah orang yang gagal sebab baginda hidup tanpa harta, begitu juga semua sahabat-sahabat baik baginda yang pada asalnya adalah orang-orang yang kaya raya tetatpi kemudian semuanya menjadi miskin harta apabila mereka membelanjakan harta mereka untuk berbakti kepada agama semata-mata. Maka itu kita perlu bertanya apakah yang paling penting dalam hidup kita, itulah yang dijadikan ukuran kejayaan.
Ada satu lagi cara lain untuk mengukur kejayaan, iaitu dengan menggunakan ukuran dalaman. Dengan menggunakan cara ini seseorang itu membandingkan dirinya, bukan dengan orang lain, tetapi dengan dirinya sendiri. Apabila seseorang itu dapat melakukan sesuatu dengan sebaik-baik daya upayanya, maka dengan itu dia layak mengukur dirinya sebagai orang yang sudah berjaya. Seandainya seseorang itu menganggap kesihatan badannya adalah perkara yang paling penting dalam hidupnya, apabila dia yakin dia sudah melakukan apa yang dituntut oleh jasmani yang sihat dengan sebaik-baik keupayaan yang ada pada dirinya maka dia boleh mengukur dirinya sebagai seorang yang berjaya.
Itulah beberapa isi yang saya ambil dari buku Psikologi Kejayaan karangan Pn. Ainon Mohd. Kalau anda ingin baca dan mendalami lebih lanjut, saya cadangkan anda dapatkan buku Psikologi Orang Berjaya.
Dengan memahami apa itu kejayaan, maka kita akan berasa lebih tenang hidup di dunia ini, dan akan lebih mudah menerima kenyataan yang kita semua adalah unik, diciptakan kita semua dengan bakat dan kebolehan yang berbeza-beza, justeru, ukuran kejayaan setiap kita adalah berbeza dan unik juga.
Selamat maju jaya! :)