Skip to main content

Kreativiti dan Kejayaan

Daya kreatif ialah syarat kejayaan yang amat penting tetapi pada masa ini masyarakat memberi tumpuan dan penghargaan tinggi pada pencapaian akademik semata-mata. Sebenarnya ada dua pencapaian yang penting. Sememangnya pencapaian dalam peperiksaan adalah amat penting, tetapi pencapaian dalam kehidupan selepas sekolah adalah lebih penting lagi. Manakala pencapaian dalam peperiksaan amat ditentukan oleh kepintaran akademik, pencapaian dalam kerjaya seseorang itu amat dipengaruhi oleh daya kreativiti dan pelbagai kepintaran lain.

Kreativiti ialah suatu potensi, Potensi itu ada pada setiap individu. Individu-individu yang kreatif menggunakan potensi yang ada pada mereka. Individu-individu yang berlainan mempunyai potensi kreativiti dlaam bidang masing-masing.

Bakat kreativiti seseorang tidak dapat diukur dengan menyuruhnya menjawab soalan-soalan bertulis ataupun soalan-soalan lisan.

Kajian-kajian menunjukkan hasil ujian-ujian seperti itu tidak mempunyai kaitan dengan tingkah laku kreatif dalam kehidupan sebenar. Dalam erti kata lain, ramai individu yang mendapat markah tinggi dalam ujian kreativiti, tidak pula menunjukkan pencapaian kreativiti yang tinggi dalam kehidupan mereka. Ramai pula yang sangat kreatif tetapi mereka mendapat markah rendah dalam ujian-ujian kreativiti tersebut.

Jadi, bagaimana nak ukur kreativiti seseorang?

Bagi mengukur kreativiti dengan cara yang lebih tepat, Gardner mengemukakan kaedah langsung.

Menurut beliau, untuk mengetahui sama ada seseorang itu kreatif ataupun tidak, caranya ialah dengan memerhatikan individu itu selama beberapa waktu. Dia mungkin bermain piano bertukang kayu, membuat program komputer, melukis, melayan pelanggan di kedai, menulis entri blog ataupun lain-lain aktiviti dalam kehidupan sebenar. Perhatikan cara-cara dia menghadapi masalah, dan apakah penyelesaian yang diciptanya, daripada situ kreativitinya dapat dikenal pasti.

Kreativiti dalam menghasilkan kerja-kerja seni, kreativiti dalam membuat video montaj, kreativiti dalam menyediakan menu sihat untuk berdiet tanpa lapar, kreativiti dalam berinteraksi dengan anak-anak dan banyak lagi aspek kehidupan yang memerlukan kreativiti kita untuk menyelesaikan masalah yang baru, atau memberi wajah baru kepada sesuatu perkara agar tidak membosankan, atau tersekat di takuk lama.

Individu yang kreatif ialah individu yang dari masa ke masa berupaya menyelesaikan masalah demi masalah, ataupun berupaya menghasilkan sesuatu yang baru yang berguna dalam bidang tertentu.

Pentingkah kreativiti untuk mencapai kejayaan?

Zaman semakin canggih, masalah-masalah baru pastinya akan timbul, yang memerlukan kepada penyelesaian samada dengan menggunakan kaedah lama, atau kaedah-kaedah baru. Jadi, bolehlah kita katakan bahawa kreativiti memang diperlukan untuk berjaya. Tak kiralah berjaya dalam bidang kewangan, dalam bidang akademik, dalam bidang sains, bidang seni, bidang masakan, bidang keibubapaan, dan bermacam-macam lagi bidang.

Untuk berjaya dalam bidang-bidang itu, kita perlu selesaikan masalah yang timbul. Jika cara lama kurang berkesan, kita kena kreatif carikan cara baru. Jika cara baru kurang berkesan, mungkin cara lama yang nampak ringkas sebenarnya lebih berkesan. Yang penting, kita tidak hanya berfikir melalui satu cara sahaja, fikir melalui pelbagai cara, dan elakkan kebekuan fungsi 'functional fixedness'.

Itulah serba sedikit yang boleh saya kongsikan dari bab 15; Kreativiti dan Kejayaan, dalam buku Psikologi Kejayaan karangan Pn. Ainon Ahmad. Buku Psikologi Kejayaan yang saya baca ini adalah versi lama. Kalau anda nak baca buku yang lebih kurang sama, bolehlah dapatkan buku Psikologi Orang Berjaya


No comments

Leave your comment

In reply to Some User