Skip to main content

Kereta dan trek Hot Wheels untuk anak abah

Dari dahulu lagi Naufal memang suka main mainan kereta. Dulu-dulu, sekitar dua tiga tahun yang lepas, ada orang jual kereta Hot Wheels murah di pasar malam Seksyen 16 Bandar Baru Bangi. 3 biji kereta mainan Hot Wheels dijual pada harga RM10.00. Kereta mainannya pula agak tahan lama. Kalau dilihat pada cara Naufal bermain, dicampak-campaknya mainan, kereta mainan plastik biasanya hanya bertahan paling lama dua minggu.

Sekarang ni tiada lagi kereta Hot Wheels murah di pasar malam itu.

Minat Naufal pada kereta mainan, terbawa-bawa hingga asyik minta nak tengok video youtube pasal kereta Hot Wheels di telefon bimbit saya. Penuhlah memori handset saya dengan video-video orang bermain kereta Hot Wheels.

Mak abah ni lumrahnya akan rasa seronok kalau dapat gembirakan anak-anak. Memang kami nak beri Naufal main kereta Hot Wheels berserta dengan treknya, tapi kerana risaukan Naufal tak jaga elok-elok mainan dia, rasa berat hati pula nak belikannya trek Hot Wheels. Lagi pula, trek Hot Wheels ni nampak macam mahal.

Pernah kami belikan kereta mainan berserta dengan treknya yang ada gelung untuk kereta meluncur laju membentuk gelung. Kereta mainan yang murah-murah saja, tapi tak bertahan lama, main seminggu dah patah.

Kemudian, saya buatkanlah trek kereta dari kertas kotak. Gunting-gunting, lipat sikit tepi dia, jadilah macam trek kereta. Kalau buat elok-elok, cantik juga hasilnya, tapi sebab nak buat cepat-cepat, hasilnya ala kadar saja.

Seronok tengok Naufal main kereta Hot Wheels, dia akan cuba tiru percakapan youtuber yang upload video di youtube yang dia ulang-ulang tengok.

Saya bagi Naufal motivasi sikit, “kalau Naufal berak kat tandas, abah belikan Hot Wheels”. Lama juga lepas saya offer Hot Wheels tu, kira-kira lepas 2 minggu, barulah Naufal berjaya buang air besar di tandas. Mungkin tandas yang ada di rumah sewa ini hanyalah tandas cangkung, itu yang susah agaknya Naufal nak berak di tandas.

Kata isteri “lepas je dia siap berak, cebok semua, terus dia minta nak call abah, nak bagi tahu dia dah berak kat tandas.” Haha..

Balik dari kerja petang itu, saya singgah Giant, cari-cari Hot Wheels kat area mainan, jumpalah Hot Wheels yang satu set ni. Ada trek dan juga 2 buah kereta dalam satu set. Cantik. Harga RM15.00. Kira okay lah. Takdelah mahal sangat. Harapnya mainan Hot Wheels ni akan bertahan lama.

Mujur ada 2 buah kereta dalam satu set ni, satu untuk Naufal, dan satu lagi untuk Balqis. Balqis baru 2 tahun lebih, jadi mainlah dulu mainan budak lelaki ya. Nanti dah besar sikit barulah pandai main mainan budak perempuan, main masak-masak contohnya. Haha..

No comments

Leave your comment

In reply to Some User