Makan-makan di Restoran Tasik Idaman, Bangi
Ahad yang lalu, abang ipar saya, Abe Sid telah berbesar hati, menjamu kami makan-makan di Restoran Tasik Idaman, Bangi. Restoran ini menyediakan menu-menu yang berkisar kepada menu-menu ikan bakar. Saya baru pertama kali menjejakkan kaki ke restoran ini yang memang terletak ditepi tasik.
Lokasi restoran ini ialah berdekatan dengan bangunan Agensi Perlesenan Tenaga Atom (AELB) berdekatan dengan Bangi Lama. Kami telah pergi ke sana pada waktu malam, pemandangan tasik yang memantulkan cahaya mentol memang menarik.
Abe Sid dan isteri telah memesan menu-menu yang sedap, tomyam campur, siakap masak stim, sotong celup tepung, cendawan goreng, ketam masak sambal, telur dadar, nasi putih, dan minuman jus oren, dan air laici.
Perkhidmatan restoran ini boleh dikatakan pantas. Mungkin kerana pelanggan pada malam itu tidak terlalu ramai. Restoran ini juga ada menyediakan pentas, siap dengan seorang juruhebah bagi memeriahkan suasana dengan memutarkan lagu, dan juga mengajak pelanggan restoran yang ingin berkaraoke.
Alhamdulillah, terima kasih tidak terhingga kepada Abe Sid sekeluarga kerana sudi membelanja kami makan.