Air-cond Myvi tiba-tiba tidak sejuk
Saya pada mulanya perasan, seperti ada yang tak kena dengan kereta, sewaktu memandu tempoh hari. Oleh kerana tiada yang luar biasa (air-cond ok, temperature ok, RPM pun ok), saya biarkan saja. Sehingga pagi itu, semasa saya perlahan hendak meletak kereta, tiba-tiba air-cond rasa tidak sejuk, yang rasa hanyalah angin. Dalam fikiran dah terbayang, "aduh, janganla compressor rosak lagi, dulu dah tukar yang original, mahal kena."
Yang peliknya, bila saya pandu laju, air-cond kembali sejuk seperti biasa. Saya rancang nak ke kedai servis air-cond kereta lewat sedikit, tapi bila saya perasan, suhu enjin pun naik lebih dari paras biasa, saya dah mula risau. Pantas, saya ke kedai servis air-cond.
Mekanik yang servis kereta saya itu, terus jumpa sebab air-cond saya tiba-tiba panas, sekejap sejuk, sekejap panas. Rupanya kipas yang rosak. Kipas itu berfungsi untuk menyejukkan enjin, dan juga menyejukkan udara air-cond sebelum ke compressor. "uish, bahaya ni bang, kipas ni kalau rosak, enjin panas, compressor pun boleh rosak", "nasib baik kipas ni masih nyawa-nyawa ikan, tu yang air-cond abang kejap sejuk, tiba-tiba panas tu." Kata mekanik.
Saya pun ambil keputusan menukar motor yang memutarkan kipas itu. Harganya RM250. Begitulah lumrah menggunakan sesuatu mesin, mesti sedar bila berlaku sesuatu yang lain daripada biasa. Takut-takut, kerosakan yang lebih teruk boleh berlaku.