Skip to main content

Prestasi di Sekolah dan Kejayaan

Apabila tiba hujung tahun, pastinya ibu bapa yang ada anak-anak yang menduduki peperiksaan besar, pasti akan berasa bimbang akan masa hadapan anak-anak. Sungguhpun ramai juga yang menyatakan bahawa tiada hubungkait konkrit antara keputusan peperiksaan dengan kejayaan masa hadapan anak-anak ini, ibu bapa tetap berasa takut dan bimbang.

Suka saya berkongsi sedikit apa yang dapat saya cedok dari buku Psikologi Kejayaan, karangan Pn. Ainon Mohd. Dalam bab 3 ; Prestasi di Sekolah dan Kejayaan, beliau membincangkan jenis-jenis personaliti pelajar, dan pengaruh personaliti itu ke atas prestasi pelajar dalam bilik darjah serta peperiksaan.

Personaliti pelajar boleh dibahagikan kepada konvergen (convergent) dan divergen (divergent).

Pelajar konvergen sangat rajin belajar, tetapi mereka cuma rajin belajar apa-apa yang terdapat dalam silibus sekolah dan peperiksaan sahaja.

Pelajar divergen pula, biasanya kita anggap mereka ini budak-budak nakal, tidak tekun, dan malas belajar. Pelajar divergen ini sebenarnya tidak suka buku teks dan lebih suka buku-buku dalam bidang yang mereka minati, yang biasanya tiada kena-mengena dengan silibus sekolah dan peperiksaan.

Banyak lagi ciri-ciri yang boleh disenaraikan tentang pelajar konvergen dan divergen ini, seperti :

- Patuh kepada guru, pelajar konvergen akan patuh dan menuruti sahaja arahan dan ajaran guru. Pelajar divergen pula akan menyoal guru kerana mereka ini suka buat sesuatu ikut cara mereka sendiri.

- Memberikan idea, pelajar konvergen akan memberikan idea yang sudah pernah dilihat ataupun didengar sebelumnya, mereka tidak suka berkhayal dan bermain-main dengan idea. Kalau disuruh berfikir sendiri, mereka tidak tahu apa yang patut mereka buat kerana mereka takut mencuba dan takut mengambil risiko membuat kesilapan. Berlawanan sifatnya dengan pelajar divergen.

Ciri-ciri pelajar konvergen dan divergen ini dikemukakan oleh pakar-pakar yang mengkaji seperti Parlett, Wallach dan Kogan, Getzel dan Jackson serta Mann dan Whitney.

Apabila kita menerima hakikat bahawa pelajar-pelajar ini tidak sama kesemuanya, maka kita seharusnya menerima hakikat bahawa sistem pendidikan di sekolah dan peperiksaan hanya baik untuk pelajar-pelajar yang konvergen. Pelajar-pelajar yang divergen, akan dilihat sebagai tercicir, sedangkan mereka punya kelebihan yang tersendiri, yang tidak dapat digilap oleh sistem pendidikan sekolah dan tidak dapat diukur oleh peperiksaan.

Apakah kita boleh katakan kumpulan divergen ini lebih baik dari konvergen? Tidak sama sekali. Masing-masing punya kelebihan tersendiri, kepandaian yang pelbagai. Kita sebagai ibu bapa / guru-guru / ahli komuniti hendaklah memahami personaliti pelajar-pelajar itu, moga pendekatan yang kita ambil sesuai dengan personaliti mereka, dan menatijahkan kepada pelajar-pelajar yang cemerlang, dalam pelbagai bidang dan pelbagai kepintaran.

Ada banyak lagi perkara yang dibincangkan dalam bab 3 ; Prestasi di Sekolah dan Kejayaan ini, kalau anda nak baca, bolehlah cari buku Psikologi Kejayaan ini.

Di bookcafe, saya tak jumpa buku ini, namun ada buku yang saya fikir, juga membincangkan hal yang sama, yang saya sarankan untuk dibaca :

Sekolah menyediakan pelbagai medium untuk pelajar belajar pelbagai perkara. Belajar bersosial, berkawan, belajar kerja berkumpulan, belajar berfikir dan belajar muzik, belajar sukan, belajar melukis, dan banyak lagi. Belajar itu tidak harus dilihat hanya kepada silibus buku teks. Peperiksaan pula hanya mengukur sejauh mana pelajar itu belajar silibus yang terhad dalam buku teks.

Dengan memahami keunikan personaliti pelajar-pelajar, kita akan dapat memahami bahawa Prestasi di Sekolah dan Kejayaan tiada hubungkait yang kuat.


No comments

Leave your comment

In reply to Some User