Berkelah di Sagil
Di Melaka, tiada air terjun untuk kita berkelah. Air terjun paling dekat dan selalu disebut ialah Sagil. Tempat rekreasi yang terletak di Gunung Ledang. Kali terakhir kami sekeluarga berkelah ialah sekitar tahun 2007. Cuti tahun baru 2013 memberi peluang untuk kami sekeluarga berkelah di Sagil.
Kami bertolak dari Tanjung Kling sekitar pukul 8:10pagi. Zul (adik) yang memandu, dia memilih untuk menggunakan jalan biasa, tidak menggunakan lebuh raya. Dari Tanjung Kling, kami bergerak menuju ke Jasin, kemudian belok menghala ke Tangkak, dan Sagil terletak berhampiran dengan Tangkak. Perjalanan kami mengambil masa kira-kira sejam.
Sampai di Sagil, kelihatan kenderaan telah mula banyak di kawasan parkir. Bayaran untuk masuk ke air terjun Sagil ialah, kereta RM 2.00, tambah dengan 5 orang dewasa, RM 1.00 seorang, jumlah semuanya RM 7.00. Naufal masih lagi bawah 2 tahun, jadi tak perlu bayar. Najwa (adik no. 2) dan suaminya tidak dapat turut serta kerana ada hal yang tak dapat dielakkan.
Bekalan makanan kami telah siapkan dari rumah. Ayam bakar telah diperap, peralatan membakar seperti arang, mancis dan sebagainya telah siap disediakan. Isteri saya membawa bekal spageti. Kami mencari tempat yang sesuai untuk berkelah, tidak terlalu dalam masuk ke kawasan rekreasi. Memandangkan abah dan mak ada sekali, jadi tempat berkelah yang kami pilih tidak terlalu jauh dari permulaan kawasan bermain air.
Untuk Naufal, kami belikan pelampung berbentuk itik, berharga RM 10.00. Mungkin kerana Naufal baru berumur 1 tahun 9 bulan, dia kurang teruja melihat air terjun yang sejuk, tapi dia lebih teruja melihat ramainya kanak-kanak lain bermain, berlari-lari di sekitar air terjun.
Air terjun Sagil pagi itu sungguh sejuk. Pucat tapak tangan dan mulut Naufal berendam dalam air. Kami makan ayam bakar dan spageti yang telah dibawa. Air minuman kami beli di kedai semasa dalam perjalanan ke sini.
Sekitar jam 12:30 kami mula berkemas untuk pulang. Ikutkan hati, mahu saja kami berkelah hingga ke petang, tapi memandangkan abah dan mak yang keletihan, serta saya mahu berehat sebelum pulang ke Bangi pada malamnya, jadi kami pulang. Naufal pun nampak dah letih berendam dalam air.
Sungguh seronok dapat main main air di air terjun Sagil. Pada masa akan datang, saya fikir kami perlukan khemah, untuk sedikit privasi seperti menyalin pakaian dan berbaring.
Destinasi berkelah masa akan datang, mungkin di tempat lain, dah banyak kali asyik Sagil saja. :D