Menjejaki Jutawan Senyap – Silent Millionaire.
“Kita ada peluang untuk kaya, hidup di Malaysia. Amat malang jika kita tak kaya hidup di Malaysia”. Begitulah ayat yang menusuk dalam hati saya tatkala membelek buku Menjejaki Jutawan Senyap. Buku ini dah lama terbit, sekitar 2004, namun baru kini saya dapat pegang dan baca hingga habis perkongsian kisah-kisah motivasi kejayaan Jutawan Senyap yang diwawancara oleh Dr. Rusly Bin Abdullah, atau lebih dikenali sebagai “Chef Li.”
Di permulaan buku ini, Chef Li menerangkan definisi Jutawan Senyap berdasarkan dari pengalaman dan pemerhatian beliau sendiri. Beliau pernah berkhidmat dalam sektor perbankan selama lebih kurang 10 tahun dan telah memerhatikan secara diam-diam tingkah-laku Jutawan Senyap ini. Beliau telah memerhatikan pelanggan-pelanggan bank yang menyimpan banyak duit di bank secara konsisten. Dari situ, beliau cuba mencungkil rahsia Jutawan Senyap ini dengan berbual-bual bersama mereka.
Jutawan Senyap menurut Chef Li, adalah mereka yang tidak terkenal, tiada nama, tidak popular. Namun mereka telah / dalam jalan mencapai kejayaan, ada harta terkumpul yang bernilai lebih 1 juta, dan tiada hutang, atau hutang yang minima komitmennya. Bukanlah Jutawan Senyap itu mereka yang mendapat 1 juta ringgit hasil dari bayaran pampasan kerana tanah pusaka mereka diambil untuk projek lebuhraya, atau mereka yang mendapat 1 juta ringgit hasil dari dana sumbangan agensi kerajaan untuk memulakan bisnes. Itu semua adalah jutawan segera yang cepat dapat 1 juta ringgit, cepat pula habisnya duit 1 juta itu.
Di dalam buku ini, Chef Li membawakan sudut pandang yang lain terhadap peniaga jalanan, usahawan pasar malam yang pada persepi biasa kita, mereka tiada gaya seorang jutawan. Ini kerana, pada hemat kita, mereka itu biasa-biasa saja penampilannya, tidak terkenal, dan oleh itu dengan pantas kita merumuskan mereka itu sama sahaja dengan kita yang makan gaji. Namun, apabila diceritakan oleh Chef Li kisah ibu tunggal yang bermula dari kuli warung makan, hingga akhirnya menjadi tauke yang boleh menggajikan ramai pekerja, barulah terbuka minda saya. Berubah juga persepsi saya melihatkan perniagaan kecil-kecilan di tepi-tepi jalan.
Kita hanya nampak 1 gerai di tepi jalan itu, akan tetapi, kita tidak nampak pula kemungkinan pemilik gerai itu ada lagi beberapa buah gerai di lokasi-lokasi yang lain. Andai 1 gerai boleh mendapat hasil jualan RM500 sehari, kalau pemilik gerai itu ada 7 gerai, secara kasar, sudah RM3500 sehari.
Kedengarannya bagai cerita fantasi, namun saya percaya memang wujud kisah fantasi ini di Malaysia.
Ada 7 buah kisah benar Jutawan Senyap yang diceritakan dalam buku ini. Kisah kejayaan seorang ibu tunggal mengusahakan perniagaan makanan menarik perhatian saya.
Secara ringkasnya, Sutinah si ibu tunggal bermula dari kosong. Dia dipenjarakan atas kesalahan yang dilakukan oleh suaminya. Suaminya menyimpan dadah di rumah sewa mereka tanpa pengetahuan Sutinah. Keluar dari penjara, dia diberhentikan kerja kerana majikan tidak mahu pekerja seorang bekas banduan.
Dia bermula dari berkuli di warung makan. Kumpul duit untuk pergi kursus membuat popia dan keropok lekor. Di awalnya dia berniaga sekali seminggu di pasar malam, kerana hari-hari lain dia bekerja di warung. Sedikit demi sedikit dia dapat berniaga 4 kali seminggu. Sehinggalah beliau dapat menggajikan pekerja, membeli van terpakai. Lama-kelamaan boleh ambil alih warung yang dia mula-mula berkuli. Sutinah berada di landasan yang betul untuk jadi Jutawan. Jutawan Senyap kerana dia tidak terkenal, tidak popular, tidak heboh-heboh.
Setelah menghabiskan membaca buku ini, bolehlah dikatakan minda saya makin terbuka apabila memandang peniaga-peniaga jalanan. Semangat saya juga berkobar-kobar untuk mengusahakan menambah pendapatan.
Semangat yang berkobar-kobar, harus juga diseimbangkan dengan pertimbangan akal yang rasional, takut-takut terlebur modal ribu-ribu yang kita dah simpan. Untuk itu, saya amat galakkan kita membaca juga buku Memulakan Bisnes Sendiri, oleh Pn. Ainon Mohd, moga kita bersemangat untuk berbisnes, dan pada masa yang sama berpijak atas dunia realiti.
“Anda patut menjadi kaya. Anda tidak berhak menjadi miskin. Hidup di Malaysia tetapi tidak kaya adalah malang.” – Chef Li