Nama anak; Naufal Bin Amirul Faiz
Nama Naufal pertama kali saya terserempak, ialah dari sebuah novel Salju Sakinah, karangan Zaid Akhtar. Watak Naufal dalam novel tersebut ialah seorang pelajar yang baik di Universiti Yarmouk, Jordan. Watak utama dalam novel tersebut ialah Sumayyah, dan Naufal bolehlah saya katakan watak yang kecil, kerana cerita tentang Naufal tidak banyak, hanya berlegar sekitar kisah Naufal menegur Sumayyah di permulaan novel. Juga sedikit kisah bagaimana Naufal melamar Sumayyah di hujung novel. Novel Salju Sakinah itu saya hadiahkan kepada isteri, sewaktu kami bercinta dahulu (sekarang masih bercinta, bahkan lebih berseri dengan kehadiran cahaya mata). Sejak dari itu, kami seperti dah ada ilham, kalau anak lelaki, Naufal. Kalau anak perempuan Sumayyah.
Ada kena mengena dengan Nabi Muhammad S.A.W. ke?
Saya mencari di Google, kisah Naufal. Saya bertemu dengan, Waraqah Bin Naufal. "Siapa Waraqah Bin Naufal ni? Macam pernah dengar, tapi tak berapa jelas dalam ingatan."Rupa-rupanya, nama Waraqah Bin Naufal muncul dalam peristiwa Nabi Muhammad S.A.W. mendapat wahyu pertama di Gua Hira'". Nabi menceritakan keresahannya kepada isterinya Khadijah, sekembalinya dari Gua Hira'. Khadijah pula bertanyakan tentang hal tersebut kepada sepupunya, itulah Waraqah Bin Naufal.
Apa makna 'Naufal'?
Dalam buku kecil 'Himpunan nama-nama si comel' karangan Ummu Ainul Muhammad, terbitan Al-Hidayah Publication, nama Naufal membawa maksud dermawan. Moga-moga anak abah ini akan menjadi seorang yang dermawan, bukan terhad kepada wang ringgit, bahkan tenaga, fikiran, idea, masa dan sebagainya diinfakkan kepada kesejahteraan ummah.
Tak nak letak Muhammad / Mohd./ Ahmad ke kat depan?
Pandangan saya, jarang orang akan panggil dengan panggilan penuh Muhammad / Ahmad. Orang akan singkatkan, menjadi 'Mat'. Dan saya fikir, cukuplah dengan nama Naufal. Pada hemat saya juga, besar harapan yang disandarkan, jika membawa nama yang terpuji Muhammad ini. Bayangkan jika seorang yang bernama Muhammad, melakukan sesuatu perbuatan yang buruk. Contohnya, "Siapa yang merempit tengah-tengah malam ni..?" dengus Pak Ali. "Alaaa, si budak Muhammad dan geng Mat Rempit dier ler, sape lagi.." Jawab Pak Abu. Seperti yang pernah ditulis oleh Ustaz Hasrizal, tentang bagaimana orang Turki, begitu prihatin soal nama Muhammad ni, hinggakan, mereka mengubah ejaan Muhammad, kepada Mehmet. Boleh rujuk di sini.
Ada apa pada nama?
Nama yang baik, insyaAllah, akan memberi kesan yang baik kepada seseorang.
"Berilah nama (anak kamu) dengan nama-nama nabi dan nama-nama yang paling (baik) disenangi Allah S.W.T. Iaitu Abdullah dan Abdur Rahman (hamba Allah dan hamba Yang Maha Pengasih, yang paling benar ialah Haris dan Hamman (yang rajin bekerja) dan yang tinggi cita-cita dan yang paling buruk ialah Herb dan Nurrah (perang dan pahit)." Riwayat Abu Daud dan Nasa'i.
Jadi, oleh itu, "Hai anakku, dengan penuh kasih dan sayang, abah dan ummi namakan kamu Naufal (dermawan)". Moga nanti, Naufal akan kenal bahawa, erti hidup adalah pada memberi.
Amirul Faiz Bin Abd. Razak
Hospital Tanah Merah, Kelantan