Pengurusan Masa, Pendidikan Tinggi dan Pasaran Kerja
Salah satu segmen yang menarik untuk kita dengar di stesen radio BFM 89.9, ialah segemen Bila Larut Malam. Satu podcastnya yang bertajuk “Pengurusan Masa, Pendidikan Tinggi dan Pasaran Kerja” menarik perhatian saya. Mungkin perbincangan ini boleh membantu saya menguruskan masa saya, dan juga mula membayangkan kemungkinan pendidikan tinggi yang sesuai untuk anak saya pada 20 tahun akan datang. Bayangan yang hanya dapat bersandarkan pada jangkaan semasa.
Sentuh bab pengurusan masa, Arif Azuddin berbincang tentang tuntutan kerja menyebabkan banyak masa yang terganggu, termasuklah masa untuk bersama keluarga dan masa untuk menjalankan aktiviti hobi kita.
Masa itu duit, dan apabila kita dibayar oleh majikan untuk melakukan sesuatu kerja, kita sebenarnya dibayar untuk memperuntukkan masa kita melakukan kerja itu. Kita memperuntukkan masa kepada majikan, dan sebagai balasan, kita menerima upah untuk masa yang kita peruntukkan untuk siapkan kerja itu. Masa yang kita peruntukkan itu boleh saja kita gunakan untuk buat perkara lain, walaupun mungkin perkara lain itu tidak mendatangkan duit.
Dilema kita di tempat kerja ialah, apabila kita dapat menguruskan masa dengan baik, kita berkemungkinan akan diberi lebih lagi tugas untuk disiapkan, memandangkan kita begitu efisien. Lain pula halnya jika kita membazir masa, masa yang dibazirkan dalam waktu kerja, jika dilihat dari sudut majikan, masa yang dibazirkan itu adalah masa milik majikan yang membayar gaji kita.
Dengan kemajuan teknologi maklumat, kerja kita seakan tidak terhenti apabila meninggalkan pejabat atau tempat kerja. Persoalan dan perbincangan tentang kerja menjengah kita semasa kita bersama ahli keluarga atau rakan-rakan, melalui e-mail, pesanan Whatsapp, Telegram, bahkan kadang-kadang melalui mesej Facebook. Di sinilah kita perlu lebih berdisiplin untuk samada membalas mesesj-mesej tersebut, atau memberi perhatian kepada ahli keluarga atau rakan-rakan ketika itu.
Andai ianya suatu hal kecemasan, yang memerlukan jawapan segera, kita perlu bijak memberi respon. Sekurang-kurangnya dengan memberitahu situasi kita ketika itu tidak sesuai untuk memberi jawapan, harapnya pihak yang bertanya faham akan situasi kita.
Masa itu berharga, seperti harta. Jika kita yakin yang masa ini akan diaudit di kemudian hari, “apa yang kita dah buat dengan masa yang diberikan kepada kita?”. Pasti kita tidak akan membuang masa dengan perkara yang sia-sia. Besar kemungkinan kita akan optimumkan penggunaan masa kita, agar boleh beri manfaat kepada diri, keluarga, dan masyarakat.
Cabarannya, kita selalu lupa, masa yang kita ada ini akan diaudit nanti. Jadi, kita pun leka menghabiskan masa dengan perkara yang tidak memberi manfaat, baik kepada diri sendiri, mahupun orang lain.
Demi masa, sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali mereka yang percaya kelak mereka akan diaudit tentang masa yang dikurniakan kepada mereka, sewaktu mereka masih hidup dahulu.
Bahagian kedua
Masuk pula kepada isu pendidikan tinggi dan pasaran kerja. Jika kita perhatikan, sudah ramai orang yang ada pendidikan tinggi, sekurang-kurangnya ijazah. Ini menjadikan segulung ijazah pada masa kini dipandang seakan sijil SPM pada 20 tahun yang lalu. Pasaran kerja pula semakin tinggi kelayakan akademik yang disyaratkan untuk pemohon. Jika dahulu kelayakan akademik minimum untuk mohon kerja ialah diploma, kini ia meningkat kepada perlunya ijazah. Jika dahulu kelayakan akademik minimum ialah ijazah, kini perlu kepada ijazah sarjana (Master / PhD). Jika dahulu minimum perlu PhD, akan datang nanti? Saya pun tak tahu apa pula kelayakan akademik yang lebih tinggi dari PhD untuk memohon sesuatu jawatan.
Saya kira sijil / kelayakan akademik membuktikan kemampuan kita mempelajari sesuatu bidang di institut pengajian tinggi. Namun, kemampuan / prestasi kita melaksanakan sesuatu tugas itu, tidak dapat diukur dengan sijil / ijazah. Ia dapat diukur dari pengalaman dan pengesahan dari majikan terdahulu atau rakan sejawat terdahulu yang telah lama melihat prestasi kerja seseorang itu.
Mungkin inilah antara sebabnya ada seruan untuk mahasiswa mula memikirkan bidang keusahawanan sebagai salah satu pilihan untuk menyara kehidupan.
Apapun, topik pengurusan masa, pendidikan tinggi, pasaran kerja ini, sangat bagus untuk kita bincangkan. Paling penting adalah bertindak segera, kerana masa yang berlalu tidak akan kembali lagi.