Taman permainan indoor, Kidzoona, indoor playground
Hujung minggu mesti diisi dengan aktiviti yang menarik. Bagi saya, bermain After Effect di laptop itu menarik, tetapi tidak menarik langsung bagi isteri dan anak-anak. Anak-anak suka bermain di luar, namun, keadaan cuaca yang tidak menentu, kadang hujan, kadang panas terik, anak-anak pun tahu, tak seronok bermain dalam cuaca tak menentu seperti itu. Jadi saya pun google lah ‘taman permainan kanak-kanak indoor’, yang menemukan saya dengan beberapa indoor playground sekitar KL dan Selangor.
Antara yang saya jumpa dari Google itu ialah senarai indoor playground sekitar Selangor yang disenaraikan oleh laman blog ini. Taman permainan indoor yang disenaraikan ialah Jkids Malaysia Playground & Party, Kid’z Paradis dan juga KizSporsts & Gym. Caj yang dikenakan oleh taman permainan indoor yang disenaraikan itu agak mahal, bagi saya. Mungkin tidak mahal bagi anda. :)
Julat harga caj masuk bagi taman permainan indoor tadi ialah dari RM25 hingga RM38 untuk seorang kanak-kanak. Dari pemahaman saya, caj itu untuk bermain sehingga puas, tiada had waktu.
Saya cuba cari lagi taman permainan indoor yang terdekat. Kalau dari Bangi ni, The Mines tu agak dekat, tapi sebab caj masuk dia agak mahal, saya cuba cari lagi. Terdetik di fikiran saya, kompleks beli-belah macam Aeon pasti ada tempat seperti taman permainan indoor ini. Saya berhasil menemukan entri berkaitan Kidzoona Aeon Cheras Selatan.
Perkara pertama sekali yang saya cari ialah, berapa caj masuknya. Okay, harga berpatutan bagi saya, RM17 seorang kanak-kanak pada hujung minggu. Hari biasa, seorang RM10. Aeon Cheras Selatan pun agak dekat dengan Bangi, jadi kami terus ke sana petang Sabtu itu. Mujur dah baca entri blog mereka yang dah pernah pergi, jadi kami dah sedia dengan sarung kaki (stokin) setiap seorang, untuk anak-anak dan juga ibu bapa penjaga.
Puas hati
Suka kami tengok Naufal dan Balqis begitu teruja sekali bermain dalam taman permainan Kidzoona ini. Mula-mula mereka bermain di kawasan gelongsor belon besar yang dikelilingi dengan bola-bola biru putih yang banyak. Adik Balqis yang baru 2 tahun lebih itu pun tak takut nak panjat gelongsor belon besar yang agak tinggi juga bagi Balqis. Perlahan-lahan Balqis panjat, ramai kanak-kanak lain yang memintas Balqis.
Puas bermain gelongsor belon besar itu, Naufal berlari ke arah tempat bermain pasir. Seperti ada suatu tarikan antara pasir dengan anak-anak. Memang ramai yang berminat sangat bermain dengan pasir ni. Mungkin kerana membesar di kota, jarang dapat bermain dengan pasir. Kalau membesar di kampung, mungkin dah jemu anak-anak ini bermain dengan pasir dan batu-batu.
Risau juga apabila anak-anak ini bermain pasir, takut ada yang balin-baling pasir ke atas kepala, nanti susah nak bersihkan pasir yang terselit di celah-celah rambut. Kawasan permainan pasir ini, anak-anak perlu tanggalkan stokin.
Puas main pasir, beralih pula ke permainan yang lain. Susun-susun blok, kereta kecil, motorsikal kecil, dan banyak lagi permainan untuk anak-anak. Lebih 2 jam jugalah kami habiskan masa di Kidzoona ini. Sempatlah saya pergi solat Asar, merayau-rayau melihat-lihat barang-barang yang dijual di kedai-kedai. Tengok-tengok harga kasut berlari di Al-Ikhsan, tengok-tengok harga seluar di bahagian pakaian lelaki dalam Aeon, tengok-tengok smartphone terbaru yang dipamerkan, dan saja tengok-tengok apa kedai-kedai yang ada dalam Aeon Cheras Selatan ini.
Boleh dikatan, berbaloilah juga saya bayar RM34 untuk Naufal dan Balqis berseronok di Kidzoona. Mujur tak susah nak ajak mereka balik.
Naufal kata pada saya, nanti nak datang lagi. Saya kata pada Naufal, “tak boleh datang selalu, nanti habis duit abah.” Haha. :D