Buku Nota Untuk Anakku
Buku ini ditulis oleh Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan. Cetakan pertama buku ini ialah pada tahun 2012. Saya terjumpa buku ini semasa melayari senarai judul-judul buku di Bookcafe. Tapi hari ini saya cari di Bookcafe, buku ni dah takde, mungkin dah habis stok agaknya. Nak beli online, harga senaskhah RM 12.00, saya cuba cari di perpustakaan dahulu. Alhamdulillah, jumpa buku ini Perpustakaan Negara. Pinjam, tak perlu bayar, hehe, jimat sikit.
Saya merasakan, semacam dah tiba masanya untuk saya sebagai abah, bersedia dengan nasihat-nasihat bernas untuk diberikan kepada anak saya. Memandangkan Naufal pun dah 5 tahun umurnya. Selain dari nasihat-nasihat untuk diberikan dalam bentuk ucapan, saya juga berfikiran, ada nasihat-nasihat yang patut diberi dalam bentuk contoh tauladan. Oleh itu, isi kandungan buku ini bukan sahaja sesuai untuk diamalkan oleh anak-anak, bahkan ibu bapa juga terlebih dahulu lebih patut untuk mengamalkan isi kandungan buku ini.
Nasihat-nasihat ditulis oleh Dr. Zulkifli dalam bentuk nota yang ringkas, tidak perlukan pembaca untuk fikir dengan kritis. Disusuli pula dengan kisah pendek yang sangat cantik dijadikan suri tauladan buat pembaca.
Pernahkah kita terfikir bagaimana orang-orang alim atau orang-orang hebat mendidik anak-anak mereka untuk jadi orang yang hebat? Bacalah buku ini, dan kita akan dapat lihat dari sudut orang yang alim, menitipkan nota-nota nasihat buat anak-anak mereka, mudah-mudahan kita juga dapat titipkan nasihat yang serupa buat anak-anak kita. Nak anak jadi orang hebat, mak bapak perlu jadi orang yang hebat terlebih dahulu, barulah mudah anak-anak mengikut.
Saya pernah dengar kata-kata hikmah “jangan risau anak tak dengar cakap kita (ibu bapa), tapi risaulah anak-anak pasti akan tiru tingkah laku kita.”
Antara yang menarik dalam buku ini ialah nota “menggilap kemahiran”. Saya petik tulisan Dr. Zulkifli :
“Terdapat lima kemahiran yang amat perlu bagi generasi pelajar membangunkan dirinya supaya mampu menjadi modal insan yang menyumbang ke arah pembangunan negara dan pembangunan umat manusia. Selama ini kita menjadi umat pengguna dan umat penciplak terhadap keunggulan orang lain. Kita belum mampu menjadi umat penyumbang terhadap pembangunan umat dan pembangunan umat manusia. Oleh itu, beberapa asas kemahiran yang penting dan utama perlu dikuasai oleh umat Islam atau pelajar disamping memilii kecemerlangan akademik.”
Apa 5 kemahiran yang dimaksudkan itu?
- Kemahiran ilmu mengurus diri dan ilmu mengurus sistem
- Kemahiran berfikir
- Kemahiran berorganisasi
- Kemahiran berstrategi
- Kemahiran berkomunikasi
Bukan sahaja anak-anak perlu ada kemahiran ini, ibu bapa juga perlu ada kemahiran ini, dan bukan setakat ada, perlu digilap hingga bersinar.
Banyak juga nasihat-nasihat lain seperti nota berkaitan “kepentingan ilmu, cara menghafaz al-Quran, pembahagian ilmu, menghargai masa, kelebihan membaca” dan banyak lagi.
Gaya bahasa penulisan buku ini dalam nada seorang abah yang kasihkan anaknya, dan menasihati anaknya dengan cara yang lembut dan mesra.
Untuk ibu bapa yang nak dapatkan buku ini, boleh beli di Bookcafe, harganya RM12.00, tak termasuk penghantaran.
Kalau yang nak jimat, cubalah cari di perpustakaan terdekat anda, pinjam dan bacalah. :)