Buku Begini, Sayang!
Buku kategori tarbiah rohani terbitan Galeri Ilmu ini banyak manfaat yang boleh diambil oleh para ibu bapa. Buku ini ditulis bersama oleh pasangan suami isteri. Mereka mencatat berkongsi pengalaman mereka menjawab persoalan anak mereka Humaira' yang berumur sekitar 5 tahun. Humaira' melatari sebahagian besar kisah dalam buku Begini, Sayang!
Bioadata penulis.
Mohd Hisham Mohd Sharif. Lahir pada 3 Januari 1979. Mendapat Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dari UUM pada 2001 dan seterusnya meraih Sarjana Sains Kejuruteraan Perisian pada 2003 dari UTM. Kini berkhidmat sebagai pensyarah di Kolej Perniagaan, UUM dalam bidang Perakaunan Sistem Maklumat.
Hasifah Zainuddin. Lahir pada 28 Ogos 1979 di Pekan, Pahang. Lulusan Sarjana Muda Perakaunan Sistem Maklumat dari UUM ini adalah anak keempat daripada 12 beradik. Penulis merupakan usahawan pusat asuhan kanak-kanak sejak 2003 hingga kini. Pengalaman mengusahakan tadika ini mendekatkan penulis dengan kanak-kanak.
Penting sangatkah untuk kita sebagai ibu bapa menjawab persoalan anak kecil yang baru bercambah mindanya? Amat penting sekali, jika kita benar-benar rasa bertanggungjawab atas amanah Allah yang tak ternilai ini. Bila anak bertanya soalan yang mudah, kadang kala tidak masuk akal, kita mudah mengaanggap itu soalan remeh. "Alah, kalau jawab betul-betul pun, diaorang faham ke?" Jangan meremehkan mereka. Tidakkah kita pernah rasa betapa tak seronoknya diremehkan waktu kita masih kecil dahulu?
Pada pendapat saya.
Persoalan-persoalan yang berkaitan dengan akidah, tauhid, tentang Allah, pencipta alam ini, jika ditanya oleh anak-anak, memerlukan kepada kita berfikir secara kreatif. Selain memberi jawapan yang mudah, contoh yang mudah, ekperimen yang mudah, perlu juga kita sebagai ibu bapa memainkan peranan bikin serupa cakap. Lebih berkesan anak-anak mengikutnya.
Apabila ditanya soal-soal yang boleh dikategorikan sebagai sulit, soal kenapa ibu cuti sembahyang dan cuti solat, soal dari mana adik datang, kenapa nak tutup aurat dan sebagainya. Juga memerlukan kita sebagai ibu bapa berfikir secara kreatif. Jawapan tak perlu berat, sesuai dengan minda mereka yang baru hendak bercambah, jawapan yang mudah sudah memadai.
Persoalan-persoalan di atas, diceritakan dengan gaya yang mudah diterima dan dipraktikkan dalam buku setebal 192 halaman ini. Menyemai benih-benih akidah, tauhid, akhlak mulia dalam minda anak-anak memerlukan masa, dan ulangan yang berkali-kali. Alangkan kita yang dah dewasa ini pun perlu diingatkan selalu, inikan pula mereka yang masih kecil itu.
Naufal menginjak 1 tahun 7 bulan
Masa semakin menghampiri kepada peringkat umur Naufal akan banyak berceloteh. Moga kami abah uminya bersedia dengan ilmu yang secukupnya. Kata Ustaz Hasrizal, anak-anak merupakan sebab yang terkuat untuk ibu bapa terus-terusan menimba ilmu. Bukan setakat ilmu agama, bahkan ilmu yang lainnya.
Buku yang amat sesuai dibaca secara santai ini, boleh didapati dari mana-mana kedai buku pada harga sekitar RM19.00. Boleh dibaca berulang kali.
Nota buat diri : "Hehe, baru dua buah buku aku baca dalam 2012 nih. Isk isk.."