Skip to main content

Jalan-jalan pergi kedai jer cuti panjang ni

Cuti yang panjang, haruslah digunakan untuk luangkan masa bersama isteri dan anak-anak. Sepatutnya kami sekeluarga balik kampung di Melaka, namun kerana ada kenduri kahwin anak Pak Tam di Nilai, yang jatuh pada tarikh 1 Jan 2017, maka rancangan kami untuk cuti panjang ini hanyalah jalan-jalan sekitar Bandar Baru Bangi.

Kedai menjual bahan-bahan jahitan dan kraftangan

1 Jan 2017 jatuh pada hari Ahad, rata-rata kedai banyak yang tutup. Isteri saya dah siap gunting kain dan perlu untuk jahit tepi, kemudian akan dicantum untuk hasilkan jubah untuk Balqis. Ada sebuah kedai jahit yang menawarkan perkhidmatan jahit tepi kain yang dah digunting, ia terletak di Seksyen 1, tapi tutup pula hari Ahad ini.

Sebuah lagi kedai yang ada menawarkan servis jahit tepi ini, iaitu Karysma Store yang terletak di Seksyen 4. Saya dan isteri gembira kerana menemukan kedai jahit yang buka pada hari Ahad itu.

Karysma Store ini ada menjual bermacam-macam bahan-bahan jahitan dan kraftangan, benang, jarum, gunting, kapur penanda, besi pengait, benang untuk mengait, gabus untuk gubahan bunga, dan banyak lagi. Apa-apa barang yang ada kait-mengait dengan jahitan dan kraftangan, boleh dijumpai di kedai ini. Mesin jahit tepi yang berharga sekitar RM1900 juga ada diletakkan didepan kedai ini.

Selain dari jahit tepi, sempat juga isteri saya sambar beberapa bahan jahitan seperti zip untuk projek jahitannya di kemudian hari. Jahit tepi dan zip, semua sekali berjumlah sekitar RM8, kalau saya tak silap.

Muaz Wholesale Emporium di Bandar Baru Bangi.

Cuti tahun baru jatuh hari Ahad, jadi berganti cuti pada Isnin keesokkannya. Nak jalan-jalan jauh, takut kenderaan banyak yang sedang pulang dari bercuti. Cari-cari di internet, terjumpa Muaz Wholesale Emporium di Bandar Baru Bangi. Lokasi yang tak jauh dari rumah. Bagus juga pergi tengok, apa yang murah dijual di Muaz. Saya pernah terdengar rakan sepejabat perempuan bercerita tentang Muaz yang di Kuala Lumpur, tapi saya tak pernah pergi tengok. Jadi, apabila dah ada yang dekat di Bangi ini, bagus juga pergi teroka, tengok apa yang murah.

Memang ada banyak pilihan baju, tudung dan sebagainya yang murah-murah. Kualiti pula, saya agak, bagus juga. Isteri saya tak beli banyak, hanya beli anak tudung sahaja.

Ramai juga pengunjung kedai Muaz ini. Kebanyakkannya pengunjung wanita. Maklumlah, rangkaian produk yang ditawarkan semuanya berkaitan dengan wanita, cuma ada satu bahagian yang jual jubah lelaki, diletakkan di depan kedai.

Suasana di kedai Muaz ini tak banyak beza dengan kedai-kedai kain di Nilai 3, ada suara juruhebah dan muzik yang merancakkan suasana. Cuma yang saya agak hairan, kenapa suara juruhebah itu sama sahaja di mana-mana kedai kain? Suara lelaki dengan slang ala-ala mamak.

“Muaz Wholesale Emporium.. kini dibuke.. di Bangi..” memang macam suara juruhebah yang sama. Haha.. :D

Balloon playground di Kipmall Bangi (lebih dikenali sebagai Warta)

Beberapa hari kebelakangan ini, hujan kerap turun sepanjang hari. Nak bawa anak-anak bermain di Taman Tasik Cempaka pun payah. Jadi saya bawalah mereka bermain balloon playground di Kipmall Bangi. Kadar harga untuk bermain balloon playground ini ialah RM5 untuk 30 minit bermain, untuk seorang anak.

Seronok tak terkata mereka bermain bersama-sama dengan kanak-kanak lain. Melompat, memanjat, langgar-langgar kanak-kanak lain. Risau juga saya, kalau-kalau budak-budak ini berlaga sesama sendiri sampai sakit badan. Walaubagaimanapun, alhamdulillah, anak-anak ini masih beringat untuk bermain dengan hati-hati. Puaslah mereka mereka main untuk 30 minit itu.

Cuti panjang kali ini kami tiada perancangan yang kemas untuk pergi ke tempat-tempat menarik. Pergi pusat rekreasi air terjun ke, atau Petrosains ke. Mungkin kerana memikirkan anak-anak saya yang masih kecil, dan juga mungkin kerana minggu depan sesi persekolahan akan bermula. Tengoklah nanti, cuti panjang lain kali kami akan rancang elok-elok pergi berjalan ke tempat yang lebih menarik.

Jalan-jalan

No comments

Leave your comment

In reply to Some User