Buku Untukmu Umat
Buku Untukmu Umat, Membina keyakinan diri untuk kehidupan hakiki adalah hasil karangan Ustaz Dr. Zaharuddin Abdul Rahman. Buku ini memuatkan nasihat-nasihat buat kita semua yang memeluk Islam, agar diri berkeyakinan, menjadi yang terbaik dalam bidang masing-masing dan dapat memberi manfaat yang terbaik kepada orang lain.
Sebelum terhasilnya buku ini, Ustaz Dr. Zaharuddin selalu menulis artikel berkaitan agama, muamalat, motivasi dan banyak lagi di blog beliau, www.zaharuddin.net. Saya selalu mengikuti entri-entri beliau di blognya. Dengan terhasilnya buku ini, mudahlah bagi kita mengikuti nasihat-nasihat yang berguna buat diri kita, tanpa perlu mencari-cari dari beratus entri di blog beliau.
Nasihat-nasihat yang ada dalam buku ini, dibahagikan kepada dua bahagian, bahagian pertama Nasihat buat diri dan umat yang terdiri daripada nasihat-nasihat bagi memotivasikan diri, seperti artikel yang berbicara soal sikap malas, sikap melangkau dalam menuntut ilmu. Artikel yang menyentuh tentang kekuatan iman, dari fizikalnya orang itu nampak dewasa, tapi dari segi imannya, boleh diumpamakan seperti pada tahap bayi.
Saya suka baca artikel-artikel pada bahagian pertama ini kerana saya berasa bersemangat apabila baca kisah-kisah kejayaan Ustaz Dr. Zaharuddin sendiri yang mengatasi cabaran demi cabaran. Cabaran belajar Bahasa Arab, cabaran menyampaikan pembentangan dalam Bahasa Inggeris kepada orang-orang penting dalam syarikat / organisasi. Kisah-kisah ini mengingatkan kita bahawa, “di mana ada kemahuan, di situ ada jalan”. Kita juga perlu jelas dengan jalan yang akan membawa kita kepada matlamat kita itu, bukan sekadar rasa bersemangat, tapi kurang jelas dengan cara-cara / metodologi untuk mencapai matlamat kita.
Cotohnya, kita tetapkan matlamat untuk kurus. Kita rasa bersemangat sungguh. Tapi jika kita tiada ilmu bagaimana untuk kurangkan berat badan secara berkesan dan tidak menyeksa diri, kita mungkin patah semangat di pertengahan jalan.
Selain dari kisah-kisah kejayaan, ada juga nasihat dan tips untuk kita yang akan menghadiri temuduga kerja. Cantik sungguh susunan Ustaz Dr. Zaharuddin dalam meletakkan tahap-tahan soalan dalam sesuatu temuduga, berserta dengan jawapan yang dimahukan oleh panel penemuduga. Sangat bagus.
Saya boleh katakan, pada bahagian pertama ini, banyak nasihat-nasihat yang disampaikan secara berhikmah, buat kita merenungi nasihat-nasihat itu, dan seterusnya membaiki diri kita. Baiki hati kita yang berprasangka, baiki hati kita yang selalu memandang rendah usaha-usaha kebaikan orang lain, seolah-olah kitalah yang paling baik dalam usaha kebaikan kita. Sedangkan, masing-masing punya peranan penting dalam pelbagai cara dan jalan kebaikan.
Ada juga nasihat buat kita yang merasakan diri terlalu sibuk dan lebih hebat berbanding orang lain. Untuk mereka yang pintar, ada juga nasihat buat anda, iaitu ujian-ujian realiti suasana sekeliling buat anda. Saya lihat, nasihat-nasihat ini amat berguna, andai kita tidaklah sesibuk anda, atau sepintar mana, tapi nasihat-nasihat ini boleh kita sampaikan kepada anak-anak kita, atau rakan-rakan yang rapat dengan kita. Moga dengan kesibukan dan kepintaran kita itu, kita dapat memberi manfaat yang banyak kepada orang lain, tanpa berasa diri kitalah yang paling hebat, orang lain biasa-biasa sahaja.
Secara ringkasnya, yakin pada diri, yang kita mampu jadi yang terbaik, mampu memberi manfaat kepada orang lain, dan pada masa yang sama seimbangkan rasa yakin diri tadi dengan mengiktiraf pasti ada orang yang lebih hebat, dan orang lain juga punya kehebatan tersendiri dalam bidang yang mereka ceburi.
Pada bahagian yang kedua, Ustaz Dr. Zaharuddin menulis Nasihat buat wanita dan lelaki. Pada bahagian ini, nasihat Ustaz banyak berkisar mengenai soal menjaga maruah dan kehormatan wanita, dan juga lelaki.
Mungkin kita akan berasa yang soal aurat, soal kehormatan ini soal yang ringan dan kecil, tapi hal yang ringan dan kecil inilah yang jika tidak diberi perhatian, boleh membawa kepada hal-hal yang lebih besar seperti berzina, buang bayi, dan sebagainya.
Bukan tugas kita menilai atau menghukum mereka yang tidak peduli soal aurat mereka. Tugas kita ialah menilai dan menghukum diri kita sendiri, apakah kita sudah benar-benar menjaga amanah tubuh badan yang dipinjamkan Allah ini? Tugas kita adalah menunjukkan kepada mereka, dengan menjaga kehormatan diri, kita akan terpelihara dari kejahatan dunia ini.
Bagaimana pula jika ada yang berhujah “walau tak jaga aurat, hati kami tetap baik, tak kacau orang”? Ustaz Dr. Zaharuddin ada menulis jawapnya dalam bahagian kedua buku ini. Mudah-mudahan, lebih ramai wanita dan lelaki Islam ambil berat hal-hal yang dianggap ringan dan kecil ini, demi menjaga amanah tubuh badan yang dipinjamkan sementara oleh Allah.
Bacalah buku ini pada masa lapang anda, anda akan berasa bersemangat untuk mengusahakan sesuatu yang bermanfaat dalam hidup anda. Moga kita yang beragama Islam, akan bertambah kukuh iman kita, makin bersih hati kita dan mudah-mudahan makin tinggi Islam di mata dunia.